Ahad, 4 November 2012

Pewarna rambut punca kanser


Pewarna rambut punca kanser - CAP

Oleh AZELI ALI
mohdazeli.ali@kosmo.com.my

GEORGE TOWN - Biarpun pewarna rambut dianggap fesyen terkini dan menjadi kegemaran untuk menyerlahkan penampilan, ramai yang tidak menyedari ia boleh memudaratkan kesihatan selain menyebabkan risiko kanser. Menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris, disebabkan secara asasnya rambut berwarna hitam, ia perlu dicerahkan menggunakan peluntur hidrogen peroksida yang juga agen kanser untuk menaikkan sisik kutikel pada rambut sehingga mengganggu kelembapan rambut. Selain itu katanya, beberapa kajian menunjukkan penggunaan pewarna rambut juga meningkatkan kanser sistem limpa, risiko leukemia atau kanser sel darah sama ada untuk lelaki atau wanita dan kanser ovari untuk wanita. "Kajian itu menunjukkan risiko di kalangan pengguna yang memakainya dalam tempoh yang lama terutama pewarna rambut yang gelap. "Kebanyakan bahan dalam pewarna rambut yang ada di pasaran sekarang diperoleh daripada sumber petroleum yang dikatakan sebagai pewarna tar batu arang oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika (FDA)," katanya pada sidang media di pejabat CAP semalam. Mohamed Idris berkata, tar batu arang mengandungi beberapa sebatian organik termasuk benzena iaitu sejenis bahan pelarut yang beracun yang boleh diserap menerusi kulit. "Ia juga mengandungi fenol yang boleh menyebabkan masalah jerawat, bengkak dan ruam selepas disapu pada kulit. "Pengguna juga tidak harus tertipu dengan inai hitam yang turut digunakan untuk mewarna rambut kerana ia bukanlah pewarna daripada sumber tumbuhan asli," ujarnya. Ini kerana jelasnya, daun inai tidak akan menghitamkan rambut tetapi tetapi hanya memberikan beberapa warna antaranya perang gelap dan kemerah-merahan. Tambahnya, sejenis bahan kimia toksik yang dikenali para phenylenediamine turut digunakan yang boleh menyebabkan berlaku katarak paras tinggi kepada pengguna pewarna rambut itu. "Oleh itu, Kementerian Kesihatan digesa mengharamkan penggunaan bahan-bahan kimia dalam produk pewarna rambut atau produk dandanan rambut yang lain," jelasnya.

 
Mungkin elok juga Anda lihat : ...
kekerapan-mewarnakan-rambut-boleh-menyebabkan-kanser
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.